Senin, 03 Februari 2014

Pemuda sedia pegawai khas untuk setiap MP PAS

Harakahdaily 

Nazri Abdullah, 11 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menyediakan seorang pegawai khas untuk setiap ahli parlimen PAS.

Pegawai khas kajian yang terdiri daripada kalangan Pemuda PAS yang dilantik itu akan membantu ahli parlimen PAS bermula sidang parlimen akan datang.

Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hasan, berkata pegawai kajian parlimen itu akan berfungsi sebagai pembantu kepada ahli parlimen untuk menyediakan bahan-bahan kajian dan isu tempatan bagi kawasan yang diwakili mereka.

"Pegawai yang kita namakan Pekap ini akan dilantik di kalangan Pemuda untuk membantu setiap ahli parlimen PAS. Satu ahli parlimen, satu Pekap. Ia akan melicinkan lagi peranan ahli parlimen di Dewan Rakyat kelak," kata beliau pada sidang media, di Pusat Media PAS, hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau Pemuda PAS Malaysia juga menubuhkan satu task force pasca PRU13 bagi mengkaji segala dakwaan penipuan dan penyelewengan sepanjang tempoh pru.

Task force ini, katanya bertanggungjawab melaporkan kepada jawatankuasa PAS Pusat untuk tujuan post-mortem, selain meningkatkan momentum rakyat untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

"Memandangkan rakyat menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, task force akan berfungsi untuk terus membangkitkan kesedaran rakyat untuk tidak berhenti melawan setiap penyelewengan," tegas beliau.

Tambahnya, ia akan dipengerusikan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan dan timbalannya, Ahmad Zamri Asad Khuzaimi yang merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) DPPM.

Dalam pada itu, DPPM turut berkerjasama dengan Juham untuk mengenalpasti mana-mana kawasan yang ditandingi wakilnya pada pru13 lalu yang dilaporkan berlaku sebarang penyelewengan.

"Kita akan mengumpulkan bukti-bukti, dan jika ianya mencukupi dan ada kes, kita akan serahkan kepada Juham untuk tindakan susulan," tegas beliau lagi.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang bukti penipuan atau penyelewengan sepanjang tempoh pilihan raya lalu untuk turut berkongsi maklumat dengan mereka.

Turut serta pada sidang media tersebut Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

0 komentar:

Posting Komentar