Senin, 30 Desember 2013

Pengiran Muda Brunei Diberi Sambutan Rasmi


PUTRAJAYA – Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini Selasa.

Baginda, yang diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di Dataran Perdana pada 10.30 pagi dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Pengiran Muda Mahkota memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota dan pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja.

Baginda kemudian diperkenalkan kepada barisan Menteri Kabinet dan duta-duta asing di negara ini.

Lawatan rasmi selama lima hari Pengiran Muda Mahkota ke Malaysia diiringi isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh bertujuan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Brunei serta meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan ekonomi.

Najib kemudian mengadakan pertemuan dengan baginda di Seri Perdana.

Baginda yang diiringi Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di Seri Perdana bersama beberapa anggota delegasinya pada pukul 11 pagi, dan pertemuan berlangsung selama kira-kira setengah jam.

Sejurus selepas pertemuan, baginda diraikan oleh Perdana Menteri dalam satu majlis santapan tengah hari di Dewan Protokol, Seri Perdana.

Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh kini berada di Malaysia untuk lawatan rasmi lima hari, yang disasar bagi mengukuhkan hubungan dua hala Brunei-Malaysia, di samping meningkatkan kerjasama khususnya dalam bidang ekonomi dan pertahanan. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar